Tengku Muda Pahang Syorkan 7 Pemain Harimau Malaya Ke FAM
MakanBola
SPFC/MNT

Tengku Muda Pahang, YAM Tengku Muda Abdul Rahman Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah, mengakui pernah memainkan peranan dalam pengenalan tujuh pemain warisan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini.

Menurut baginda, penglibatan baginda hanyalah pada peringkat awal bagi memperkenalkan beberapa pemain berpotensi kepada FAM untuk dinilai dari segi kelayakan sebagai pemain warisan, dan tidak melibatkan sebarang proses pentadbiran atau pendaftaran rasmi.

“Sejak hujung tahun 2024, beberapa ejen telah menghubungi saya untuk mencadangkan pemain berdarah campuran Malaysia bagi tujuan penilaian. Saya hanya memanjangkan cadangan mereka kepada pihak FAM untuk dinilai dengan lebih terperinci,” titah Tengku Abdul Rahman, merujuk kenyataan baginda pada 24 Oktober 2025.

Baginda menegaskan bahawa semua cadangan itu dibuat dengan niat untuk memperkukuhkan skuad kebangsaan dan memberi peluang kepada bakat berdarah Malaysia di luar negara untuk berkhidmat kepada tanah air.

“Antara pemain yang pernah saya syorkan termasuk tujuh pemain warisan yang kini telah menerima keputusan CAS dan FIFA. Untuk makluman, kesemua mereka telah pun menerima kewarganegaraan Malaysia secara sah melalui proses yang diiktiraf oleh kerajaan,” jelas baginda.

Tambah baginda lagi, niat utama adalah untuk membantu FAM memperluaskan sumber pemain dan menyediakan lebih banyak pilihan taktikal buat pasukan kebangsaan.

“Segala usaha ini dilakukan dengan tujuan memperkukuhkan pasukan Harimau Malaya dan menaikkan standard bola sepak negara. Saya percaya pemain warisan dan naturalisasi yang berkualiti mampu membawa nilai tambah besar kepada skuad kebangsaan,” titah baginda lagi.

Baginda turut mengimbas pengalaman terdahulu ketika bersama pasukan Pahang, termasuk penglibatan pemain naturalisasi seperti Mohamadou Sumareh, Sergio Aguero dan Lee Tuck, yang terbukti memberikan impak positif kepada prestasi pasukan.

Pencerahan Tengku Abdul Rahman ini sekali gus memperlihatkan komitmen pelbagai pihak dalam memperkukuhkan skuad kebangsaan Malaysia serta memastikan semua proses berkaitan dijalankan secara sah, profesional, dan selaras dengan penilaian FAM serta badan bola sepak antarabangsa.