Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Zafrul Aziz bakal menggalas peranan baru sebagai Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Ini selepas Majlis BAM sebulat suara memilih beliau menggantikan Tan Sri Norza Zakaria dalam mesyuarat majlis buat kali ketiga hari ini.
Bagaimanapun, tempoh di mana beliau bakal menggalas jawatan itu secara rasmi masih belum diputuskan.
Ini dijangka diputuskan dalam mesyuarat Majlis BAM seterusnya pada Disember ini. Sekiranya tidak berdepan sebarang masalah, Tengku Zafrul bakal memulakan tugas sebagai presiden pada Januari tahun hadapan.
Norza sebelum ini mengumumkan keputusan untuk mengundur diri sebagai Presiden BAM pada akhir tahun sekitar Ogos lalu.
Ini sekaligus mengubah keputusannya sebelum ini yang mahu meninggalkan BAM selepas tamat Sukan Olimpik 2024 di Paris.
Selain memegang peranan sebagai Presiden BAM, Norza juga merupakan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).