Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz tetap bangga dengan pencapaian perseorangan wanita negara di pentas Thailand Masters.
Hasrat Malaysia meraih gelaran juara dalam acara itu tidak kesampaian apabila Goh Jin Wei terpaksa menarik diri pada set kedua.
Bekas juara remaja dunia itu terpaksa menarik diri akibat kecederaan. Meskipun terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara, Tengku Zafrul berbangga dengan pencapaian pemain wanita negara termasuk Jin Wei.
Ini kerana pada hemat beliau, ini menunjukkan perseorangan wanita Malaysia sudah mula mempamerkan peningkatan dari segi daya saing.
Pencapaian ini bukan saja kelihatan dalam saingan Thailand Masters tetapi juga dalam saingan Indonesia Masters.
“Perjalanan ini bukan perjalanan individu, tetapi perjalanan bersama. Di Thailand Masters, semua wakil perseorangan wanita Malaysia mara sekurang-kurangnya ke peringkat suku akhir – satu petanda jelas peningkatan daya saing para pemain kita.
“Lebih membanggakan, pencapaian di Thailand Masters (S300) ini hadir selepas Indonesia Masters (S500), menjadikan musim ini kali pertama perseorangan wanita Malaysia mara ke dua separuh akhir berturut-turut di kejohanan Super 300 ke atas.
“Prestasi ini mencerminkan semangat juang pemain perseorangan wanita negara,” katanya dalam satu hantaran di X.
Tengku Zafrul turut percaya peningkatan pemain perseorangan wanita negara sebagai permulaan kepada lebih banyak kejayaan dalam sektor berkenaan.
“Walaupun keputusan final tidak memihak kepada kita, momentum dan semangat para pemain terus membara.
“Ini bukan titik akhir – ini permulaan kepada lebih banyak kejayaan untuk perseorangan wanita Malaysia,” ujarnya.
Jin Wei turut mencipta sejarah sebagai pemain wanita negara pertama berjaya mara ke final Jelajah Dunia BWF Super 300.