Beregu lelaki utama Malaysia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik mengakhiri kemarau kejuaraan jelajah BWF 2023 dengan menggondol gelaran juara Terbuka Denmark.
Kejayaan ini tercapai selepas mereka mengetepikan cabaran regu Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri dan Bagas Maulana.
Kelebihan memihak kepada Aaron-Wooi Yik di mana mereka menang kesemua tiga perlawanan dengan Shohibul-Bagas.
Kelebihan ini terserlah pada set pertama dengan juara dunia beregu lelaki 2022 itu mendahului dengan pada kedudukan 12-6.
Biarpun Shohibul-Bagas cuba mengejar, Aaron-Wooi Yik memastikan kemenangan set pertama dengan keputusan 21-13.
Set kedua menyaksikan regu nombor 14 dunia itu pada satu ketika mendahului regu negara pada kedudukan 5-2.
Bagaimanapun, Aaron-Wooi Yik berjaya mengejar menggunakan corak permainan pantas dan mula mendahului pada kedudukan 12-8.
Itu sudah cukup buat mereka memenangi set kedua dengan keputusan 21-17.
Ini membolehkan Aaron-Wooi Yik bukan saja bergelar juara Terbuka Denmark 2023. Malah, ini mengakhiri penantian juara kejohanan terbuka BWF mereka yang pertama untuk tahun ini.