Hasrat Pearly Tan-M. Thinaah meraih kejuaraan Terbuka Hong Kong tidak kesampaian apabila ditewaskan regu Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti.
Dari segi ranking, Apriyani-Siti Fadia berada pada kedudukan ke-12 dunia berbanding Pearly-Thinaah (ke-15 dunia). Bagaimanapun, dari segi rekod pertemuan, kedua-dua regu memiliki rekod seimbang dengan masing-masing memiliki dua kemenangan.
Set pertama menyaksikan Pearly-Thinaah selesa mendahului regu Indonesia itu pada kedudukan 15-5. Biarpun Apriyani-Siti Fadia cuba mengejar, regu ke-15 dunia itu berjaya meraih kemenangan 21-14.
Set kedua menyaksikan kedua-dua regu bersaing sengit memburu mata. Malah, pada satu ketika, Pearly-Thinaah berjaya diikat Apriyani-Siti Fadia pada kedudukan 16-16.
Regu wanita Indonesia itu memastikan set kedua dalam genggaman dengan keputusan 24-22. Ini memaksa perlawanan diheret ke rubber set.
Set ketiga menyaksikan Pearly-Thinaah ditinggalkan jauh pada kedudukan 18-6. Keadaan ini tidak dibantu dengan regu negara bergelut dengan masalah kecederaan dalam set ini.
Kedudukan itu terus dipertahankan Apriyani-Siti Fadia bagi membolehkan mereka meraih gelaran juara dengan keputusan 21-9.
Biarpun tewas, prestasi yang ditampilkan regu wanita utama negara itu dalam kejohanan ini dilihat mampu mempersiapkan mereka mendepani Sukan Asia 2023 di Hangzhou, China.
Pada masa sama, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) juga berharap kecederaan Pearly dan Thinah tidak serius memandangkan mereka juga merupakan sandaran pingat di Sukan Asia nanti.