Perseorangan lelaki kedua Malaysia, Ng Tze Yong melangkah ke separuh akhir selepas lawannya, Kunlavut Vitidsarn menarik diri hari ini.
Tze Yong sepatutnya berdepan juara dunia dari Thailand itu dalam aksi suku akhir bagi menentukan siapa yang bakal layak ke separuh akhir esok.
Bagaimanapun, Kunlavut yang juga pilihan keempat kejohanan menyatakan tidak dapat turun menentang pemain muda berusia 23 tahun itu.
Walaupun sebab pengundurannya tidak dinyatakan, ramai percaya pemain Thailand itu terpaksa menarik diri akibat masalah kecederaan.
Justeru, ramai peminat badminton di media sosial mendoakan agar Kunlavut kembali pulih dan cergas untuk menghadapi kejohanan jelajah BWF seterusnya.
Tze Yong kini menunggu pemenang perlawanan antara Li Shifeng dari China dan Anthony Sinisuka Ginting dari Indonesia dalam satu lagi aksi suku akhir.
Tidak kira siapa yang menang, kedua-dua pemain ini dianggap penghalang buat anak jati Johor Bahru itu untuk mara ke pentas final pada Ahad ini.