Advertisement
Terengganu Persiapkan Pengganti Azam Azmi?
Transfer
MakanBola
Terengganu FC/ Kelantan FC

Desas-desus mengenai perpindahan bintang Terengganu FC, Azam Azmi Murad ke pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) semakin hangat diperkatakan sejak kebelakangan ini.

Malah laman Transfermarkt juga telah merekodkan perpindahan Azam Azmi ke JDT yang difahamkan bakal dilengkapkan pada Januari tahun hadapan.

Namun begitu, Terengganu dilihat tidak menoleh lagi ke belakang apabila dikhabarkan bakal membawa masuk pemain baharu di posisi tersebut.

Pemain yang dimaksudkan ialah pertahanan kanan Kelantan FC yang juga merupakan anggota skuad bawah 23 tahun kebangsaan, M. Rakesh.

Khabar angin tersebut telah dikongsikan oleh wartawan The Star, T. Avineshwaran melalui satu ciapan di laman X.

“Difahamkan bahawa pemain pertahanan Kelantan yang serba boleh, M. Rakesh sedang dikaitkan dengan perpindahan ke Pantai Timur. Terengganu sedang memantaunya pada masa ini,” kongsi Avineshwaran di laman X miliknya.

Untuk rekod, M. Rakesh telah beraksi dalam 9 perlawanan Liga Super musim ini dengan berjaya menyumbang satu bantuan gol. Selain itu, khidmat beliau turut digunakan bersama skuad bawah 23 Kelantan yang beraksi dalam saingan Piala MFL 2023.

M. Rakesh merupakan seorang pemain yang versatil dan mampu beraksi di beberapa posisi seperti pertahanan kanan dan pertahanan tengah.