Terengganu Tampilkan Skuad Campuran Hadapi Đông Á Thanh Hóa 
MakanBola
Terengganu FC

Shopee Cup: Terengganu dijangka bakal menurunkan skuad campuran berdepan kelab Vietnam, Đông Á Thanh Hóa.

Perkara ini disahkan oleh Ketua Jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner mengenai percaturan aksi di Gong Badak.

Beliau memberitahu bahawa moral pasukannya berada dalam keadaan baik sungguhpun bakal turun tanpa dua tonggak penting iaitu Safwan Mazlan dan juga Shahrul Nizam.

Pengendali kelahiran Croatia itu bagaimanapun perlu memikirkan dua aksi iaitu perlawanan kedua Shopee Cup ini dan juga aksi Liga Super menentang Selangor kurang tiga hari.

“Saya akan menurunkan pemain terbaik yang kita ada. Saya sudah mempunyai perancangan tetapi selepas tiga hari, kita akan bertemu Selangor pula.

“Idea saya adalah untuk menurunkan skuad campuran dan saya tidak mengatakan ia merujuk kepada pemain di bangku simpanan. Sesebuah pasukan tidak hanya bergantung kepada 11 pemain sahaja,” jelasnya ketika sesi sidang media pra-perlawanan hari ini.

Tomislav juga mengakui bahawa perancangan skuad Peteh amat penting sama ada beraksi di Shopee Cup mahupun saingan domestik.

“Pasukan kami tidak hanya memikirkan aksi di Shopee Cup tetapi juga mahu tampil baik di Liga Super,” tambahnya lagi.

Aksi Terengganu menentang Đông Á Thanh Hóa bakal berlangsung di Gong Badak pada 25 September jam 9 malam.