Pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) menitipkan ucapan terima kasih buat pasukannya selepas 9 tahun yang penuh indah.
Menerusi satu hantaran di laman Instagram miliknya, Nazmi menyifatkan Johor bukan sekadar tempat untuk bermain bola sepak, malah telah menjadi rumah keduanya sepanjang bergelar pemain Harimau Selatan.
“Sukar untuk saya ungkapkan dengan kata-kata perjalanan selama 9 tahun 6 bulan ini.
“Johor telah menjadi lebih daripada sekadar tempat untuk bermain bola sepak, ia telah menjadi rumah kedua saya,” tulisnya.
Dalam masa sama, pemain berusia 31 tahun itu turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pemilik Kelab, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor di atas kepercayaan dan peluang yang diberikan kepadanya sepanjang bersama kelab tersebut.
Nazmi turut menegaskan beliau sentiasa memberikan segala kemampuan yang dimiliki setiap kali menyarung jersi JDT, tanpa pernah berputus asa walaupun berdepan pelbagai cabaran.
“Alhamdulillah, sepanjang tempoh ini saya telah memberikan segala yang saya mampu setiap hari. Saya sentiasa berusaha memberikan yang terbaik tanpa mengira apa jua keadaan.
“Dalam setiap cabaran, setiap dugaan dan setiap kejayaan, saya tidak pernah mengalah kerana menyarung lencana JDT sentiasa menjadi satu penghormatan buat saya.”
Selain itu, bekas pemain PKNS FC itu turut mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan, barisan kejurulatihan, kakitangan kelab, pihak media serta semua individu di belakang tabir yang menjadi sebahagian daripada perjalanan kariernya di JDT.
Tidak ketinggalan, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada penyokong Harimau Selatan yang sentiasa memberikan sokongan tanpa berbelah bahagi sepanjang sembilan tahun setengah bersama kelab.
“Buat para penyokong, terima kasih atas kasih sayang dan sokongan yang tidak pernah berbelah bahagi. Bab ini mungkin sudah sampai ke penghujungnya, namun segala kenangan dan kasih sayang saya terhadap JDT akan kekal bersama saya selama-lamanya.”
Nazmi menyertai JDT pada awal musim 2017 dan menjadi antara tonggak penting kelab dalam era dominasi Harimau Selatan di pentas domestik serta Asia.
Ucapan perpisahan itu sekali gus mengesahkan berakhirnya satu era buat Nazmi Faiz bersama JDT, dengan pemain tengah itu dijangka memulakan cabaran baharu bersama Kuching City menjelang musim 2026-2027 seperti yang dilaporkan sebelum ini.