Jodoh 3 pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dilaporkan akan kembali bersatu menjelang saingan Liga Malaysia 2026-2027.
Urusan perpindahan pemain sedang rancak berjalan kini setelah Malaysian Football League (MFL) mengumumkan tempoh pendaftaran pertama bagi para pemain telah pun dibuka pada 28 Jun lalu sehingga 3 September akan datang.
Tempoh ini pastinya ingin digunakan sebaiknya oleh setiap pasukan untuk melengkapkan perancangan perpindahan pemain demi membentuk sebuah skuad yang lebih kompetitif bagi menghadapi musim Liga Malaysia tidak lama lagi.
Seperti biasa, persiapan pasukan JDT sering kali menjadi perhatian peminat apabila juara Liga Super 12 kali tersebut dijangka membawa masuk nama-nama baharu selain menerima semula pemain yang tamat tempoh pinjaman dari kelab lain.
Menurut perkongsian oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, 3 tonggak JDT iaitu Safawi Rasid, Nazmi Faiz dan Syamer Kutty Abba dijangka kembali bergandingan dalam pasukan sama pada musim hadapan.
Walau bagaimanapun, identiti kelab mereka bertiga tidak didedahkan sama ada akan menyarung jersi pasukan baharu pada musim 2026/2027 atau pun kembali beraksi bersama skuad Harimau Selatan seperti musim sebelum ini.
“Kembali bersama. Safawi Rasid, Nazmi Faiz dan Syamer Kutty Abba,” lapor Zulhelmi Zainal Azam di laman X.
Untuk rekod, Safawi Rasid dipinjamkan ke Terengganu dan KL City dalam dua musim terakhir, yang memberikan impak positif kepada perkembangan permainan pemain sayap berusia 29 tahun itu apabila berjaya menjaringkan 27 gol secara keseluruhan.
Manakala, Syamer Kutty Abba pula sempat menyertai Penang dan KL City secara pinjaman bersama-sama Safawi Rasid sebelum dipanggil pulang ke JDT pada pertengahan musim lalu untuk mengisi kekosongan pemain yang cedera.
Nazmi Faiz Mansor masih lagi kekal bersama JDT sejak menyertai skuad Harimau Selatan sedekad yang lalu dan telah melakukan 160 penampilan, menjaringkan 15 gol serta turut menyumbang 25 bantuan jaringan selama tempoh itu.