Thailand Antara Calon Lawan Tertutup Harimau Malaya
MakanBola
Changsuek/MNT

Thailand antara calon lawan yang bakal dihadapi Malaysia dalam aksi persahabatan tertutup semasa mereka berada di negara itu.

Kemungkinan itu timbul selepas pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski mendedahkan pasukan itu akan mengadakan satu aksi persahabatan tertutup sebelum menentang Vietnam.

“Mungkin kami akan mengadakan satu perlawanan tertutup,” katanya seperti dilaporkan Stadium Astro.

“Kami pernah melakukannya sebelum ini dengan mengadakan latihan dan kemudian perlawanan ujian secara tertutup, di mana kami boleh memberikan minit permainan dan menguji sedikit taktikal, melihat apa yang Vietnam mungkin lakukan di atas padang, juga melihat dan mengawal intensiti pemain untuk ke tahap tertinggi.

“Itu kebaikan yang boleh didapatkan daripada perlawanan seperti itu.”

Walau bagaimanapun, Cklamovski tidak mendedahkan siapa pasukan yang bakal dihadapi Harimau Malaya untuk aksi tertutup berkenaan.

Meskipun begitu, Thailand yang dibimbing Anthony Hudson juga bakal mengadakan aksi persahabatan tertutup.

Ini sebagai persiapan skuad Gajah Perang sebelum turun menentang Turkmenistan dalam aksi terakhir kelayakan Piala Asia 2027.

Aksi tersebut penting buat kedua-dua pasukan kerana Thailand dan Turkmenistan masing-masing memburu tiket kelayakan ke kejohanan berprestij itu.

Selain Thailand, kelab Thai League 1, BG Pathum United juga berpotensi sebagai calon lawan Harimau Malaya.

Ini disebabkan Malaysia menggunakan pusat latihan pasukan itu sebagai pangkalan latihan sebelum menghadapi Vietnam pada 31 Mac ini.