Advertising
Thailand Berpeluang Lakar Sejarah Baharu ASEAN Championship
MakanBola
Changsuek

Pasukan Thailand berpeluang untuk mencipta satu sejarah baharu bagi kejohanan ASEAN Championship.

Skuad bimbingan Masatada Ishii tampil cemerlang dalam aksi separuh akhir kedua dengan bangkit menyingkirkan Filipina hasil keputusan agregat 4-3 di Bangkok pada Isnin.

Peeradol Chamratsamee dan Patrik Gustavsson masing-masing meledak satu jaringan untuk meletakkan Thailand di hadapan sebelum Bjorn Kristensen menyamakan kedudukan agregat 3-3.

Ad

Ketika aksi diheret ke masa tambahan, Suphanat Muenta yang dibawa masuk di lewat permainan muncul wira buat Thailand apabila menanduk masuk gol kemenangan pada minit ke-116.

Ad

Kemaraan Thailand ini menyaksikan skuad Gajah Perang bakal beraksi di pentas final buat kali ketiga berturut-turut sejak tahun 2020 dan telah muncul juara dalam dua edisi sebelum ini.

Ini membuka peluang buat Thailand untuk melakar sejarah baharu menjadi negara pertama yang meraih gelaran juara 3 kali berturut-turut andainya menewaskan Vietnam di final nanti.

Ad
Ad

Vietnam yang dibimbing oleh Kim Sang-sik kini bakal menjadi halangan terakhir Thailand untuk mencipta sejarah ini apabila Golden Star Warrior menumpaskan Singapura 5-1 pada Ahad lalu.

Thailand dan Vietnam bakal berentap di pentas final ASEAN Championship dengan perlawanan pertama dijadualkan di Viet Tri pada 2 Januari sebelum aksi timbal balik di Bangkok 3 hari kemudian.