Skuad wanita kebangsaan Thailand mengambil pendekatan serupa seperti Indonesia dengan memperkuat pasukan menerusi kehadiran pemain warisan.
Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) kini sedang giat membina pasukan dalam misi melayakkan diri ke Piala Dunia Wanita 2027 yang bakal berlangsung di Brazil.
Oleh itu, dalam merealisasikan misi besar tersebut, Presiden FAT, Nualphan Lamsam atau lebih dikenali sebagai Madam Pang telah melancarkan program mencari pemain warisan wanita Thailand di serata dunia.
Menerusi pengumuman di laman Facebook rasmi Thai Women’s Football, mana-mana pemain wanita berdarah Thailand dijemput untuk menghantar permohonan anda kepada badan induk tersebut tidak kira di mana anda berada.
”Tidak kira di mana anda berada – Thailand, Asia, Eropah atau Amerika – jika anda pemain bola sepak wanita berdarah Thailand dan juga yakin dengan bakat anda, hantarkan pencapaian terbaik anda kepada kami. Kami bakal hubungi anda semula,” umum Thai Women’s Football.
Terdapat 5 kriteria yang dikongsikan bagi panduan pemain yang berminat iaitu tidak berusia lebih 30 tahun, mempunyai kewarganegaraan Thailand, miliki pengalaman bermain di peringkat tertinggi, tinggal di dalam atau luar negara dan sanggup menanggung kos untuk ke sesi pemilihan.
Sekiranya mencapai kesemua lima kriteria yang diinginkan, para pemain boleh menyedia dokumen yang mengandungi resume pemain, salinan kad pengenalan / pasport, video rakaman permainan dan gambar pemain di atas padang.
Pihak FAT memberi masa sehingga 17 Januari 2025 untuk kesemua para pemain warisan Thailand yang berminat untuk menghantar dokumen tersebut ke e-mel badan induk bola sepak tersebut.
Sebelum ini, Indonesia menjadi negara yang aktif dalam merekrut pemain berdarah warisan dengan beberapa nama antaranya Estella Loupatty, Noa Leatomu, Claudia Scheunemann dan Sydney Hopper yang kini sudah menyarung jersi Timnas Putri.
Kehadiran empat pemain warisan tersebut telah berjaya membantu Indonesia muncul juara Piala AFF Wanita 2024 setelah menewaskan Kemboja di final.