Thomas Cup: Malaysia Genggam Tiket Suku Akhir, Mudah Atasi Finland
UltraSukan
BA Malaysia

Malaysia memastikan tiket suku akhir Thomas Cup dengan menewaskan Finland dalam aksi kedua Kumpulan B di Horsens, Denmark.

Selepas meraih kemenangan 3-2 ke atas England dalam aksi pertama, Malaysia berpeluang mengesahkan kemaraan ke suku akhir lebih awal. Hal ini boleh dicapai dengan syarat kem negara menewaskan Finland.

Malaysia menurunkan Leong Jun Hao, Justin Hoh dan Lee Zii Jia sebagai wakil perseorangan lelaki. Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Soh Wooi Yik-Tee Kai Wun menjadi taruhan untuk beregu lelaki.

Kem negara bermula dengan langkah kiri apabila Jun Hao dikejutkan pemain ke-60 dunia, Joakim Oldorff.

Oldorff yang pernah tewas kepada beliau dalam saingan Arctic Open 2023 mengungguli perlawanan sebelum menang dengan keputusan 21-17, 21-15.

Malaysia kembali ceria apabila Justin mempamerkan aksi garang sebelum menewaskan Kalle Koljonen 21-14, 21-12 untuk mata penyamaan.

Rentak positif kem negara diteruskan oleh Zii Jia. Bekas juara All England itu menewaskan Ananda Galvani Daniswara dengan keputusan 21-19, 21-10.

Sze Fei-Izzuddin yang juga bekas beregu nombor satu dunia memastikan Malaysia makin selesa di hadapan. Mereka menewaskan Eliel Melleri-Niilo Nyqvist dengan keputusan 21-12, 21-15.

Gandingan eksperimen Woo Yik dan Kai Wun melengkapkan kemenangan selesa Malaysia dengan menewaskan Ananda-Alvar Melleri. Mereka menang dengan keputusan 21-,7 21-14.

Malaysia mengalihkan fokus kepada Jepun untuk aksi terakhir kumpulan pada 29 April. Keputusan perlawanan ini akan menentukan sama ada Malaysia layak sebagai juara atau naib juara kumpulan.