Indonesia terpaksa mengucapkan selamat tinggal lebih awal kepada saingan Thomas Cup 2026 selepas tewas di tangan Perancis di peringkat kumpulan.
Aksi terakhir peringkat kumpulan D menemukan Indonesia dan Perancis yang masing-masing turun membawa misi meraih kememangan untuk mara ke suku akhir Thomas Cup 2026.
Walau bagaimanapun, Indonesia terpaksa menelan kepahitan apabila gagal melangkah ke suku akhir selepas tumbang 1-4 kepada Perancis dan mengakhiri saingan hanya di peringkat kumpulan.
Perancis memperoleh mata yang pertama menerusi pemain perseorangan lelaki, Christo Popov yang berjaya mengatasi bekas juara Asia, Jonathan Christie 21-19, 21-14 dalam masa 55 minit.
Momentum tersebut diteruskan lagi oleh bintang berusia 21 tahun, Alex Lanier yang tampil bertenaga mengalahkan Alwi Farhan dalam masa 53 minit sekaligus memberi tekanan buat kem Indonesia.
Mata ketiga Perancis disumbangkan oleh Toma Junior Popov yang bekerja keras bagi menewaskan Anthony Ginting dalam perlawanan 3 set dan memberikan kemenangan buat negara Eropah itu.
Gandingan Eloi Adam-Leo Rossi turut menghadiahkan mata keempat buat Perancis selepas hanya mengambil masa 43 minit untuk menewaskan beregu Indonesia, Sabar Gutama-Moh Reza Isfahani.
Indonesia akhirnya berjaya mendapatkan mata saguhati hasil kemenangan Fajar Alfian-Shohibul Fikri ke atas Toma Popov-Christo Popov sekali gus mengubati sedikit duka untuk juara 14 kali ini.
Kemenangan ini memastikan tempat buat Perancis ke suku akhir Thomas Cup, mengiringi Thailand dari kumpulan D ini manakala Indonesia sah tersingkir selepas berada di tangga ketiga.