Advertisement
Thomas Cup: Perjalanan Lee Zii Jia Masih Samar
UltraSukan
UltraSukan
BA Malaysia

Kedudukan sama ada Lee Zii Jia menjadi sebahagian daripada kontinjen negara untuk kempen Thomas Cup masih lagi kabur.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky percaya hal ini berlaku disebabkan fokus Zii Jia untuk tampil cemerlang di Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.

Atas sebab itu, jaguh perseorangan ke-11 dunia itu dilihat berhati-hati dalam memilih kejohanan sebagai persediaan ke Sukan Olimpik.

Rexy memaklumkan Zii Jia bakal berbincang dengan pasukannya terlebih dahulu sebelum memutuskan sama ada menyertai kontinjen negara ke Thomas Cup atau tidak.

“Lee Zii Jia sedang memikirkan (temasya Sukan) Olimpik. Jadi, saya boleh faham kerana ranking Zii Jia pada ketika ini ke-10. Maka, beliau mahu sasar kedudukan lapan pemain teratas (dunia).

“Jadi, ada beberapa perkara yang beliau mahu fikirkan tentang Thomas Cup. Tentang sama ada Thomas Cup itu penting atau tidak apa semua, beliau juga harus memikirkan persiapannya ke Olimpik.

“Jadi, dia kena lihat kejohanan mana yang akan disertainya. Kalau dengan Thomas Cup itu, maka bebanlah (buat dirinya) dan takut banyak (yang perlu ditampung).

“Jadi, akan ada perbincangan. Dia akan berbincang sama pasukannya pasal Thomas Cup ini,” katanya kepada Nadi Arena.

Thomas Cup bakal berlangsung dari 28 April hingga 5 Mei ini.