Thomas Tuchel Pertikai Keputusan Pengadil Piala Dunia
MakanBola
England Football

Dua keputusan pengadil Australia, Alireza Faghani mencetuskan rasa tidak puas hati pengurus England, Thomas Tuchel.

Meskipun gembira melihat anak buahnya meraih kemenangan 3-2 ke atas Mexico dalam aksi pusingan 16 pasukan terbaik Piala Dunia, kualiti pasukan pengadilan diketuai Faghani kurang memuaskan jurulatih Jerman itu.

Dua insiden yang menjadi fokus Tuchel ialah insiden kad merah Jarell Quansah dan insiden penalti kedua Mexico. Bekas jurulatih Chelsea itu berpandangan dua keputusan tersebut tidak sepatutnya berlaku dalam perlawanan itu.

“Ianya tidak memuaskan. (Mutu) pengadil tidak memuaskan, (mutu) pegawai keempat juga tidak memuaskan. Tapi paling penting, itulah perkara yang kita kena terima.

“Apakah itu kesalahan jelas untuk penalti? Sudah pasti tidak. Mereka mengubah situasi di mana beliau (Harry Kane) langsung tidak memberi sebarang faul,” katanya seperti dilaporkan BBC Sport.

Walau bagaimanapun, bekas penolong pengadil Piala Dunia, Darren Cann dan bekas penjaga gol England, Joe Hart percaya Faghani membuat keputusan tepat berhubung dua insiden berkenaan.

Cann melihat meskipun kaki Quansah terkena bola, kakinya mengenai tulang kering pemain Mexico. Justeru, Faghani tidak memiliki pilihan dengan melayangkan kad merah kepada bekas pemain Liverpool itu.

“Quansah memang mendapat bola terlebih dahulu tetapi itu tidak dikira mengikut undang-undang permainan. Beliau membuat terjahan dan anda boleh melihat stud (but) terkena tulang kering.

“Pengadil tiada pilihan dan perlu melayangkan kad merah. Kad merah 100%,” katanya. Pendapat Cann turut dipersetujui Hart apabila menyemak semula dua insiden itu.

Selain kedua-dua insiden itu, bekas penjaga gol Manchester City itu turut bersetuju penalti yang diterima England juga tiada masalah.

“Saya fikir pengadil telah membuat keputusan tepat untuk ketiga-tiga insidne. Saya rasa setiap satu (insiden), sebaik saya tengok ulang tayang, saya rasa gementar.

“Quansah berhak dibuang padang, Kane gagal mendapatkan bola (sehingga membawa kepada penalti Mexico) dan (terjahan pemain Mexico ke atas Anthony) Gordon (untuk penalti England) mendapat bola terlebih dahulu,” katanya.

England akan bertemu Norway di peringkat suku akhir. Norway melaungkan amaran kepada pasukan-pasukan lain apabila menyingkirkan Brazil 2-1 dalam satu lagi aksi pusingan 16 pasukan terbaik.