Pengendali Brazil, Carlo Ancelotti memaklumkan pasukan itu tidak mempunyai sebarang pelan istimewa untuk merantai ayam tambatan Norway, Erling Haaland.
Sebaliknya, bekas pengurus Real Madrid itu memberi kepercayaan kepada tonggak pertahanan Selecao untuk mengawal pergerakan penyerang berbisa Manchester City itu.
“Tiada pelan anti-Haaland,” katanya seperti dilaporkan The Chosun Daily.
“Haaland, semua orang kenal Haaland. Saya tak perlu nak jelaskan panjang lebar tentang beliau. Pemain pertahanan seperti Gabriel (Magalhaes) bermain lebih baik daripada saya kerana mereka banyak kali menentang beliau.
“Jadi, kita fokus membuat persiapan baik untuk perlawanan ini termasuk gaya (permainan) Haaland. Sudah pasti kita kena ingat bahawa beliau seorang penyerang yang merbahaya.”
Meskipun senada dengan Ancelotti, pemain tengah Brazil, Bruno Guimaraes percaya seorang pemain akan diarah mengawal Haaland sepanjang perlawanan nanti.
“Haaland sudah pasti seorang pemain yang berada dalam kelas berbeza. Kita perlu mengetuai serangan tetapi seorang pemain perlu bertindak mengawal beliau.
“Haaland boleh saja mengubah hala tuju permainan dengan satu sentuhan bola, jadi kita mesti tidak berikan sebarang peluang kepada beliau,” tambahnya.
Brazil bakal menghadapi Norway tanpa kelibat pemain tengah West Ham, Lucas Paqueta yang terpaksa berehat akibat kecederaan. Pada masa sama, Selecao boleh menghela nafas lega kerana Raphinha kembali cergas.
Aksi ini bukan saja peluang buat kedua-dua pasukan memburu tiket suku akhir. Malah, ini juga peluang Brazil membalas dendam ke atas Norway selepas tewas kepada pasukan Scandinavia itu dalam Piala Dunia 1998.