Rakyat Thailand menerima tamparan hebat selepas tiada satu pun saluran televisyen yang berjaya mendapatkan hak untuk menyiarkan saingan Piala Asia 2023 Qatar.
Perkara tersebut telah dikongsikan oleh wartawan terkenal Thailand, Ta Lao dalam laman X miliknya. Beliau seakan-akan tidak percaya dengan apa yang telah berlaku.
“Tiada siaran langsung di Thailand. Tiada satu pun stesen TV di Thailand yang berjaya memperoleh hak penyiaran untuk menyiarkan Piala Asia 2023. Sukar untuk dipercayai,” coret Ta Lao di laman X.
Kini rakyat Thailand hanya mengharapkan siaran dalam talian memandangkan mereka tidak mampu menontonnya dari kaca televisyen.
Berita sedih ini melengkapkan situasi pelik dan aneh yang membelenggu skuad kebangsaan Thailand sejak kebelakangan ini.
Bermula dengan dibelasah Thailand pada bulan lalu, Thailand turut membawa skuad tempang ke Qatar tanpa dua pemain bintang mereka iaitu Chanathip Songkrasin dan Teerasil Dangda.
Seorang lagi bintang utama Thailand, Ekanit Panya pula menolak panggilan ke skuad kebangsaan bagi menjalani persiapan pra-musim bersama kelabnya di Jepun, Urawa Red Diamonds.
Persiapan aneh ke Piala Asia berterusan buat Thailand apabila hanya menjalani satu perlawanan latihan menentang skuad Thailand Bawah 23 Tahun sebelum berlepas ke Qatar pada 11 Januari.
Thailand diundi di dalam Kumpulan F bersama-sama Arab Saudi, Kyrgyzstan dan juga Oman bagi kempen Piala Asia kali ini.
Thailand dijadualkan bertemu Kyrgyzstan dalam perlawanan pertama pada 16 Januari. Manakala dalam perlawanan kedua, mereka bakal berdepan Oman pada 21 Januari sebelum aksi terakhir menentang Arab Saudi pada 25 Januari.