Dalam aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2023 minggu ini, terdapat tiga pasukan gergasi dari Asia yang tewas kepada pasukan dari ASEAN.
Tiga pasukan tersebut ialah Ulsan Hyundai, Jeonbuk Hyundai dan Melbourne City. Ulsan Hyundai dan Jeonbuk Hyundai merupakan wakil dari Korea Selatan manakala Melbourne City pula ialah pasukan dari Australia.
Juara Liga Korea musim ini, Ulsan Hyundai tewas di tangan juara Liga Malaysia 2023 iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT). Pasukan yang digelar Harimau Selatan ini berjaya menewaskan Ulsan Hyundai dengan keputusan 2-1 menerusi jaringan Heberty Fernandes dan Akhyar Rashid.
Pasukan gergasi dari Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai terpaksa akur dengan kehebatan wakil dari Singapura, Lion City Sailors. Dua jaringan Richairo Zivkovic menyaksikan pasukan dari Korea Selatan itu tewas 0-2.
Wakil dari Australia, Melbourne City pula tewas kepada Buriram United. Pasukan Buriram United mencipta kejutan apabila jaringan tunggal G. Gausic menyaksikan wakil dari Thailand itu mengutip tiga mata berharga di laman lawan.
Ini menyaksikan tiga kelab ASEAN berjaya mencatat kemenangan mengatasi jaguh-jaguh dari Asia. Keputusan ini dilihat sebagai permulaan positif buat kelab-kelab di ASEAN yang kini sudah mampu memberi cabaran dan saingan berdepan pasukan-pasukan gergasi di Asia.