Tiga pengadil Malaysia membuka lembaran sejarah baharu di AFC Asian Cup apabila diberi kepercayaan untuk menggalas tugas mengemudi aksi di Qatar.
Tiga individu yang dimaksudkan itu adalah pengadil dari Malaysia, Muhammad Nazmi Nasaruddin bersama dua penolong pengadil, Mohamad Zairul Khalil Tan dan Mohd Arif Shamil Abd Rasid.
Mereka bertiga telah mengadili perlawanan Kumpulan D, Piala Asia 2023 antara pasukan Iraq menentang Vietnam di Stadium Jassim bin Hamad, Qatar, pada 24 Januari 2024.
Zairul telah diletakkan selaku penolong pengadil simpanan bagi satu perlawanan di Qatar sebelum ini iaitu China menentang Tajikistan sementara Arif sebagai penolong pengadil simpanan bagi perlawanan Iraq menentang Jepun.
Pentas Piala Asia AFC 2023 ini penting buat trio set pengadil dari Malaysia itu untuk mereka berada dalam senarai pendek pengadil dan penolong pengadil yang bakal dipilih untuk beberapa siri kursus dan ujian iaitu ‘FIFA World Cup Candidate’ sebagai syarat pemilihan secara merit bagi Piala Dunia 2026 di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat.
Dalam perlawanan tersebut, Nazmi telah melayangkan satu kad merah pada babak pertama kepada pemain Vietnam, Van Khang Khuat dan tiga lagi layangan kad kuning kepada pemain kedua-dua pasukan.
Ketiga-tiga Pengadil FIFA ini merupakan antara 35 pengadil dan 39 penolong pengadil yang terpilih untuk mengadili perlawanan di sepanjang kempen Piala Asia 2023 di Qatar bermula 12 Januari hingga 10 Februari 2024.