Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan harga tiket bagi aksi Kelayakan Piala Dunia di antara Malaysia dan Oman.
Memerusi hantaran di laman instagram FAM, para penyokong boleh mendapatkan tiket perlawanan Malaysia menentang Oman dengan harga di antara RM 5 sehingga RM 80.
Bagi tempat duduk terbuka, tiket dijual dengan harga RM 40 kepada para peminat manakala bagi kanak-kanak bawah 12 tahun pula, tiket dijual pada harga serendah RM 5 sahaja.
Tiket di tempat duduk grandstand akan dijual dengan harga RM 60. Para penyokong yang mahu merasai pengalaman menonton di tempat duduk premium, tiket dijual pada harga RM 80 sahaja.
Tiket kini boleh dibeli oleh para peminat Harimau Malaya secara atas talian menerusi laman sesawang Ticket Hotline bermula Sabtu, 9 Mac 2024.
Aksi skuad kebangsaan akan tetap diteruskan di Stadium Nasional Bukit Jalil meskipun bimbang kegusaran dalam kalangan peminat mengenai keadaan padang di stadium tersebut.
Namun, ketua jurulatih, Kim Pan-gon diyakinkan oleh pihak teknikal stadium bahawa padang akan siap sedia sebelum aksi bertemu Oman.
Malaysia bakal bertemu Oman di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 26 Mac ini bagi aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 / Piala Asia 2027.