Lagenda bola sepak Asia, Tim Cahill mengucapkan tahniah kepada Harimau Malaya.
Hal ini susulan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai peruntukan RM15 Juta yang disalurkan buat Harimau Malaya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, sebanyak RM10 juta diperuntukkan oleh kerajaan, manakala RM5 juta adalah komitmen daripada syarikat swasta.
“Pada hari ini, mengenangkan banyak masalah dan rakyat terutama orang muda minat tentang bola sepak.
“Saya mengambil keputusan untuk secara peribadi dan membantu memperkukuh pasukan Harimau Malaya di Malaysia,” katanya.
Dana RM15 Juta itu diharap dapat membantu untuk membangkitkan semula kekuatan Harimau Malaya untuk duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara Asia yang lain.
“RM15 juta khusus untuk pasukan Harimau Malaya, pengurus, jurulatihnya yang terbaik supaya beberapa tahun kita dapat angkat Harimau Malaya menjadi antara gergasi di Asia.
“Jadi kita nak perhatikan kemudahan dan kebajikan pemain-pemain bola, anak-anak kita itu bagi saya keutamaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan warga Kementerian Kewangan (MOF), di sini hari ini.
Perkara ini meraih perhatian Tim Cahill yang juga berkhidmat sebagai Pengarah Teknikal Qatar FA dan Ketua Pegawai Sukan Akademi Aspire.
“Tahniah bola sepak Malaysia,” ujarnya dalam satu hantaran di laman X.
Malaysia bakal mengharungi aksi Pestabola Merdeka 2024 pada 4 September bertemu pasukan ke-147 dunia, Filipina di Stadium Nasional Bukit Jalil.