Harimau Malaya mendapat khabar gembira apabila bakal menerima suntikan mencecah RM15 Juta.
Perkara ini disahkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai Harimau Malaya bakal menerima suntikan dana untuk pengurusan, latihan dan kebajikan pasukan bola sepak negara .
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, sebanyak RM10 juta diperuntukkan oleh kerajaan, manakala RM5 juta adalah komitmen daripada syarikat swasta.
Beliau mengambil inisiatif ini untuk membantu skuad negara terutamanya untuk memperkukuh perjalanan skuad kebangsaan.
“Pada hari ini, mengenangkan banyak masalah dan rakyat terutama orang muda minat tentang bola sepak.
“Saya mengambil keputusan untuk secara peribadi dan membantu memperkukuh pasukan Harimau Malaya di Malaysia,” katanya.
Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa peruntukan ini khusus buat kakitangan dan pemain dalam misi untuk melihat Malaysia mampu bersaing secara kompetitif di Asia.
“RM15 juta khusus untuk pasukan Harimau Malaya, pengurus, jurulatihnya yang terbaik supaya beberapa tahun kita dapat angkat Harimau Malaya menjadi antara gergasi di Asia.
“Jadi kita nak perhatikan kemudahan dan kebajikan pemain-pemain bola, anak-anak kita itu bagi saya keutamaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan warga Kementerian Kewangan (MOF), di sini hari ini.
Pada awal Januari lalu, kerajaan telah memberikan peruntukan RM5 Juta selepas Malaysia mempamerkan prestasi baik dalam kejohanan Piala Asia 2023.