Persatuan Badminton Palestine dengan kerjasama Badminton Asia telah menganjurkan program Badminton khas untuk kanak-kanak di Palestine.
Program berkenaan dikongsikan oleh Setiausaha Agung Badminton Asia, Datuk Kenny Goh menerusi laman X peribadinya.
“Ketika seluruh dunia meraikan Krismas, Badminton Asia bersama Palestin BA menganjurkan program berkaitan badminton untuk kanak-kanak Palestin”, tulis beliau yang juga Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
“Semoga hari istimewa dan acara istimewa ini akan membawa kegembiraan kepada kanak-kanak ini serta mempromosikan sukan yang indah ini di bahagian rantau ini”, tambah beliau di ciapan baru.
Program ini merupakan inisiatif dari penganjur untuk menyediakan sokongan psikologi dan sosial kepada kanak-kanak Palestin melalui badminton dan aktiviti rekreasi.
Tujuan lain adalah untuk meningkatkan kesejahteraan kanak-kanak, meningkatkan kerja berpasukan yang fleksibel dan rasa gembira, yang menyumbang kepada perkembangan mental dan emosi mereka secara keseluruhan.
Di dalam ciapan tersebut, disertakan beberapa gambar dan video yang memaparkan sekumpulan kanak-kanak Palestine sedang berseronok melakukan aktiviti yang berkaitan badminton.
Antara aktiviti yang dilakukan mereka ialah membawa bulu tangkis di atas raket, berlari dan menyentuh kon menggunakan raket dan sebagainya.