Advertisement
“TMJ Pencetus Segala Perubahan Bola Sepak Malaysia”
Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

Pemain sayap Malaysia, Faisal Halim mengakui kemajuan yang dicapai skuad negara hari ini tidak akan berlaku tanpa jasa DYAM Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim.

Perkara ini dinyatakan beliau kepada wartawan Flash Sukan, Firdaus Johari selepas Malaysia berjaya mengalahkan Taiwan semalam.

Pemain sayap Selangor FC itu menyifatkan TMJ sebagai pemangkin perubahan yang sekaligus menjadikan bola sepak negara lebih disegani.

“Kita tidak akan sampai ke kedudukan yang kita berada sekarang kalau tak disebabkan (TMJ).

“Kita patut berterima kasih kepada TMJ, disebabkan beliau 10 tahun lepas pada 2013 membuat perubahan dari macam-macam aspek, fasiliti dan standard liga kita.

“Dan dari situ, ada perubahan dan kita perlu berterima kasih kepada Tunku Mahkota Johor. Kalau tak beliau, sudah tentu kita tidak akan capai pada tahap yang kita berada sekarang,” katanya.

Faisal turut berharap akan ada figura-figura lain yang tampil dan membantu kelab-kelab Liga Super untuk lebih maju ke depan.

Ini kerana kehadiran mereka ini bukan saja menambahbaik kualiti Liga Super. Malah, ini akan meningkatkan kualiti skuad kebangsaan secara keseluruhan.

“Tapi apa yang penting, saya sebagai pemain kebangsaan ingin mengharap orang-orang seperti Tunku Mahkota Johor dapat membantu pasukan dan kelab sendiri.

“Dan sudah tentu bila kelab itu bagus, pasukan kebangsaan juga akan jadi lebih bagus. Seperti sekarang yang kita dapat lihat Tunku Mahkota Johor orang yang memulakan aspek yang membantu skuad kebangsaan.

“Begitu juga dengan (Selangor), di mana saya di Selangor, kita ada RMS (Raja Muda Selangor) yang membuat perubahan demi perubahan untuk kelab.

“Itu sudah tentu sedikit sebanyak akan membantu pasukan kebangsaan. Saya harap lebih ramai orang seperti Tunku Mahkota Johor dan RMS dapat membantu pasukan kebangsaan,” tambahnya.

Faisal yang mesra dipanggil Mickey kini akan membantu The Red Giants mendapatkan kemenangan ke atas Perak FC pada 25 November ini.