Toh Ee Wei Sah Cedera ACL
UltraSukan
BA Malaysia

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan pemain beregu campuran negara, Toh Ee Wei mengalami kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) ketika beraksi di Kejohanan Singapore Open minggu lalu.

Menurut kenyataan rasmi BAM, Ee Wei mengalami kecederaan tersebut ketika perlawanan suku akhir sebelum menjalani pemeriksaan imbasan resonans magnetik (MRI) bagi mengenal pasti tahap kecederaan yang dialaminya.

Hasil pemeriksaan mendapati pemain berusia 25 tahun itu mengalami koyakan separa ACL pada lutut kiri.

Susulan kecederaan tersebut, Ee Wei bersama pasangannya, Chen Tang Jie terpaksa menarik diri daripada saingan Indonesia Open 2026 yang akan berlangsung di Jakarta minggu ini.

“Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan bahawa Toh Ee Wei mengalami kecederaan lutut ketika aksi suku akhir Singapore Open minggu lalu.

“Pemeriksaan MRI yang dijalankan selepas itu mendapati terdapat koyakan separa pada ligamen krusiat anterior (ACL) di lutut kirinya.

“Susulan itu, Toh Ee Wei dan Chen Tang Jie telah menarik diri daripada Indonesia Open 2026,” menurut kenyataan BAM.

BAM turut memaklumkan bahawa Ee Wei dijadualkan menjalani satu lagi pemeriksaan MRI susulan pada Jumaat depan sebelum pasukan perubatan badan induk itu menentukan pelan rawatan serta proses rehabilitasi yang bersesuaian.

Kecederaan tersebut pastinya menjadi tamparan buat kem beregu campuran negara memandangkan gandingan Tang Jie-Ee Wei ketika ini merupakan antara sandaran utama Malaysia di pentas antarabangsa.

Claim Money Packet TnG