Tunisia bertindak pantas mengumumkan Mondher Kebaier sebagai jurulatih interim selepas memecat Sabri Lamouchi.
Sebelum ini, Persekutuan Bola Sepak Tunisia (FTF) bertindak memecat bekas jurulatih Nottingham Forest itu susulan kekalahan besar 5-1 Tunisia di tangan Sweden.
Alexander Isak, Viktor Gyokeres, Mattias Svanberg dan Yasin Ayari masing-masing mencetak nama sebagai penjaring. Omar Rekik menyumbat gol saguhati buat Tunisia.
Susulan itu, FTF melantik Kebaier sebagai jurulatih interim untuk baki kempen Piala Dunia. Jurulatih berusia 56 tahun itu bukan asing dengan pasukan berkenaan kerana pernah memimpin Tunisia dari 2019 hingga 2022.
Kebaier juga pernah melatih beberapa kelab di Afrika. Antaranya Raja Casablanca, Club Africain, Esperance, ES Sahel, CA Bizertin dan AS Djerba.
Justeru, FTF berharap sentuhan Kebaier dapat membantu menstabilkan semula pasukan sebelum menentang Jepun pada 21 Jun dan Belanda (26 Jun).