Tunku Ismail Bawa Hasil Bukan Sekadar Harapan
MakanBola
Malaysia NT

Usaha dalam diam yang dilakukan oleh DYAM Tunku Ismail, Pemangku Sultan Johor untuk skuad Harimau Malaya mula mendatangkan hasil yang dinantikan.

Pada Januari lalu, Tunku Ismail menerusi sebuah kenyataan memaklumkan sekurang-kurangnya 6 pemain warisan yang berada di luar negara telah dikenal pasti bagi mewakili skuad negara.

Kehadiran pemain warisan ini dilihat amat penting buat skuad Harimau Malaya dalam misi harungi aksi Kelayakan Piala Asia bermula Mac 2025 dengan positif, konsisten dan cemerlang.

“Kami telah mengenal pasti 6-7 pemain warisan untuk pasukan Harimau Malaya. Diharapkan kerajaan Malaysia dapat membantu dalam proses mendapatkan pasport Malaysia.”

“Ini agar mereka dapat bermain untuk Harimau Malaya pada kelayakan Piala Asia 2027 mulai bulan Mac ini. Mustahak Harimau Malaya memulakan kempen kelayakan dengan keputusan yang positif,” ujar DYAM Tunku Ismail di laman X.

Sejak hantaran itu dimuat naik, dua pemain warisan, Hector Hevel dan Gabriel Palmero telah pun hadir serta membantu Malaysia menumbangkan Nepal dalam aksi Kelayakan Piala Asia Mac lalu.

Menjelang aksi kedua menentang Vietnam, pasukan Harimau Malaya kendalian Peter Cklamovski kini diperkuatkan dengan ketibaan 5 orang pemain warisan yang akan menyarung jersi Malaysia.

Bek tengah Alaves, Facundo Garces menjadi pemain pertama yang diperkenalkan diikuti Joao Figueiredo, Rodrigo Hogaldo, Jon Irazabal dan Imanol Machuca melengkapkan skuad pada Rabu.

Kelima-lima pemain warisan ini telah pun sampai ke Malaysia dan sudah memulakan sesi latihan bersama pemain-pemain Harimau Malaya di bawah pemantauan Peter Cklamovski dan barisan kejurulatihan.

Secara keseluruhannya, kesemua 7 pemain warisan yang dikatakan oleh DYAM Tunku Ismail pada Januari lalu telah pun tiba dan bersedia untuk membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa.

Kerja dalam diam yang dilakukan oleh DYAM Tunku Ismail ini bersama Penasihat Sukan, Tim Cahill dan Rob Friend selaku Ketua Pegawai Eksekutif Harimau Malaya telah pun buahkan hasil.

Kini, Harimau Malaya dalam persiapan terakhir sebelum aksi getir berdepan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun hadapan.