Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor mengambil maklum mengenai insiden yang melibatkan salah seorang atlet Malaysia, Siti Nur Masyitah baru-baru ini.
Sabtu lalu, Siti Nur Masyitah dilaporkan telah mengalami kemalangan di Lebuh Raya Penyuraian Timur (EDL) setelah dilanggar oleh pemandu yang dipercayai mabuk sehingga menyebabkan kecederaan parah.
Ini menyebabkan atlet berusia 22 tahun itu dikejarkan ke hospital dan telah menjalani pembedahan akibat kecederaan serius patah bahu kanan, pinggul, kaki kiri dan termasuk kecederaan kulit badan terkoyak selepas diseret kira-kira 600 meter.
Insiden menyayat hati ini telah menggemparkan negara dan mengejutkan ramai orang selain turut mendapat perhatian pemilik kelab bola sepak JDT, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor
DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor menggesa agar keganasan seperti ini yang melibatkan atlet dihentikan dengan segera kerana ia tiada kaitan dengan sukan dan bola sepak.
“Akhyar kena samun, Faisal kena asid, Safiq Rahim kereta kena pecah. Siti Nur Masyitah kena langgar kereta dan semalam seorang lelaki dari Bagan Serai, Perak ditangkap dan jumpa bomb di rumah.”
“Balai Polis Ulu Tiram diserang lelaki bertopeng dan dua anggota polis ditembak. Semua ini kerja TMJ, FAM, Polis dan MFL. Semua kes ini tiada kaitan dengan bola sepak dan berlaku di luar kawasan stadium dan luar kawasan bola sepak.”
“Tetapi mari kita beramai-ramai buat solidariti stop violence in football. #inisemuasalahtmj,” tulis DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor melalui catatan instastory milik beliau.
Keadaan terkini Siti Nur Masyitah dilaporkan telah ditidurkan setelah menjalani pembedahan lebih lima jam di sebuah hospital swasta di Johor Bharu.