Uber Cup: Beregu Muda Malaysia Kejutkan Pasangan Ke-7 Dunia
UltraSukan
BA Malaysia

Beregu wanita muda Malaysia, Low Zi Yu dan Noraqilah Maisarah Ramdan menceriakan kem negara dalam aksi terakhir Kumpulan B Uber Cup.

Meskipun Malaysia tewas 4-1 kepada Jepun dalam perlawanan itu, Zi Yu-Maisarah menyumbang mata tunggal negara dengan mengejutkan beregu nombor tujuh dunia, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi.

Meskipun berstatus beregu ke-143 dunia, itu bukan penghalang buat beregu muda negara itu mendahului dengan memenangi set pertama dengan keputusan 21-17.

Selepas tewas 21-12 pada set kedua, Zi Yu-Maisarah membuktikan keupayaan mereka dengan menewaskan Iwanaga-Nakanishi dalam set penentuan dengan keputusan 21-19.

Meskipun tewas 4-1 kepada Jepun, Malaysia tetap layak ke suku akhir Uber Cup. Ini kali pertama pencapaian itu dilakar sejak edisi 2010.

Malaysia mara selepas menewaskan Turkiye dan Afrika Selatan dalam dua aksi awal Kumpulan B.

Malaysia bakal mengetahui siapa lawan mereka di peringkat suku akhir menerusi cabutan undi yang akan dibuat pada 29 April sejurus selepas tamat aksi terakhir peringkat kumpulan.