Skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) IV terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas diikat Kedah Darul Aman (KDA) FC 1-1 dalam aksi Piala Belia 2023 hari ini.
KDA FC yang dibimbing Muhammad Taufiq Abdullah tidak menunggu lama membuka jaringan menerusi Muhammad Ilham Kamarul Hisham pada minit keempat.
Tersentak, pasukan pelawat yang dibimbing Juan Miguel Munoz Rodriguez bangkit memburu gol penyamaan.
Penantian mereka berbaloi apabila pemain pertahanan Muhammad Fitkri Aidel menyumbat gol penyamaan pada minit ke-20. Keputusan 1-1 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Sang Kenari dan Harimau Selatan bersaing sengit mencari gol kemenangan tetapi keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan kedua-dua pasukan terikat lima mata dalam saingan Liga 1 Piala Belia. Tetapi JDT IV menduduki tempat kedua kerana mempunyai kelebihan perbezaan jaringan.