Pemain tengah England, Jude Bellingham berkemungkinan bakal dikenakan hukuman setelah pihak Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) membuka kertas siasatan ke atas beliau.
Bellingham sekali lagi diberi kepercayaan oleh Gareth Southgate untuk mengemudi bahagian tengah England ketika turun beraksi menentang Slovakia dalam pusingan 16 terbaik Isnin lalu.
Aksi konsisten Bellingham ditambah pula dengan satu gol menerusi sepakan gunting pada masa kecederaan berjaya membantu The Three Lions untuk menempah tiket ke suku akhir Euro 2024.
Namun, di sebalik persembahan cemerlangnya itu, lensa kamera sempat merakam satu isyarat pelik yang dilakukan oleh pemain tengah Real Madrid itu ketika meraikan gol penyamaannya itu pada minit ke 95.
Setelah perlawanan, Bellingham dalam satu ciapan di laman X peribadinya menjelaskan mengenai isyarat tersebut yang ditujukan khas buat rakan-rakannya yang hadir menonton aksi tersebut di Veltins Arena.
“Isyarat gurauan kepada beberapa rakan rapat (di stadium) yang menghadiri perlawanan ini. (Saya) ada rasa hormat tentang cara Slovakia bermain pada malam ini,” katanya menerusi satu ciapan di X.
Meskipun sudah dijelaskan oleh Bellingham, namun jawatankuasa Etika dan Tatatertib UEFA tetap bertegas untuk membuka kertas kerja bagi menyiasat tindakan pemain berusia 21 tahun itu yang melanggar peraturan untuk berkelakuan sopan.
“Pemeriksa Etika dan Tatatertib UEFA akan menjalankan siasatan tatatertib berhubung kemungkinan pelanggaran peraturan asas kelakuan sopan oleh pemain Persatuan Bola Sepak England, Jude Bellingham, yang didakwa berlaku dalam perlawanan ini,” ujar UEFA dalam satu kenyataan.
Jika didapati bersalah, Bellingham berisiko digantung untuk perlawanan suku akhir England menentang Switzerland pada hari Sabtu ini di Dusseldorf dan berpotensi untuk aksi-aksi berikutnya sekiranya The Three Lions lolos lebih jauh.