Bintang muda England, Jude Bellingham dilihat melakukan isyarat pelik semasa meraikan jaringan penyamaan pasukan itu dalam aksi terbaru EURO 2024 menentang Slovakia.
England turun menentang Slovakia dalam aksi pusingan 16 pasukan terbaik dengan misi memburu tiket ke peringkat suku akhir.
The Slovak Falcons yang menduduki ranking ke-45 dunia mencipta kejutan dengan mendahului menerusi gol Ivan Schranz pada minit ke-25.
Tersentak, The Three Lions melancarkan serangan bertubi-tubi ke atas kubu pertahanan Slovakia untuk mendapatkan gol penyamaan.
Tatkala England berdepan kemungkinan tersingkir daripada kejohanan, Bellingham muncul wira dengan meledakkan gol penyamaan pada minit ke-95. Gol tersebut memastikan perlawanan diheret ke masa tambahan.
Semasa meraikan jaringan tersebut, bintang Real Madrid itu dikatakan menunjukkan isyarat kurang sopan kepada bangku simpanan The Slovak Falcons.
Bellingham kemudiannya menjelaskan di media sosial bahawa isyarat tersebut ditujukan kepada beberapa orang rakan rapat yang menonton perlawanan England-Slovakia di Arena AufSchalke.
Beliau turut menyatakan rasa hormat kepada Slovakia kerana memberi tentangan sengit kepada England sepanjang perlawanan.
“Isyarat gurauan kepada beberapa rakan rapat (di stadium) yang menghadiri perlawanan ini. (Saya) ada rasa hormat tentang cara Slovakia bermain pada malam ini,” katanya menerusi satu ciapan di X.
Kapten England, Harry Kane menyumbat gol kemenangan pada minit ke-91 masa tambahan. Gol tersebut bukan saja memastikan The Three Lions meraih kemenangan 2-1.
Malah, ini menyaksikan England bakal berdepan Switzerland di peringkat suku akhir EURO 2024. Perlawanan ini bakal berlangsung pada tengah malam 7 Julai ini.