Aksi Liga Juara-Juara AFC akan diteruskan dengan beberapa lagi perlawanan hangat. Antara yang menjadi tumpuan ramai sudah tentu pertemuan dua juara liga iaitu juara Liga Super Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan juara Liga 1 Korea, Ulsan Hyundai.
Dalam satu sidang media pra perlawanan, jurulatih Ulsan Hyundai, Hong Myung-bo menjelaskan bahawa segala keraian menjulang kejuaraan Liga 1 Korea ditangguhkan demi memberikan fokus sepenuhnya kepada aksi bertemu JDT.
“Kita tahu perlawanan ini penting untuk layak ke pusingan seterusnya. Kita menang perlawanan terakhir di gelanggang kita sendiri. Esok ialah perlawanan tempat lawan yang kita harus hadapi.
“Kita memang bergelar juara untuk K-League tetapi kita tidak buat apa-apa upacara rasmi buat masa ini. Semua pemain fokus kepada perlawanan ACL dan pemain-pemain akan fokus kepada perlawanan mendatang,” jelas Myung-bo dalam sidang media yang disiarkan Astro Arena.
Dalam pada itu, Myung-bo berpendapat bahawa tiada yang mustahil buat skuad kendaliannya itu mendapatkan kemenangan dengan syarat, mereka mempragakan aksi yang terbaik.
Perlawanan di antara JDT dan Ulsan Hyundai itu dijadualkan berlangsung esok 7 November jam 8 malam dan bertempat di Stadium Sultan Ibrahim.
Ulsan Hyundai kini di tangga kedua kumpulan I Liga Juara-Juara AFC dengan mengumpul 6 mata daripada 3 perlawanan yang telah diharungi. Manakala JDT berada di tangga ketiga dengan mengumpul 3 mata selepas satu kemenangan dapat direkodkan ketika menewaskan BG Pathum United.