Penyokong tegar Harimau Malaya, Ultras Malaya kembali menuntut dua perkara dari pihak FAM selepas keputusan CAS pada Khamis.
Keputusan CAS pada Khamis menyaksikan hukuman penggantungan 12 bulan dari bermain bola sepak secara rasmi bagi kelab & negara terhadap pemain-pemain terbabit iaitu Joao Figueiredo, Hector Hevel, Jon Irazabal, Facundo Garces, Imanol Machuca, Rodrigo Hogaldo & Gabriel Palmero kekal.
Keputusan ini bermakna pemain terbabit masih dibenarkan menjalani latihan bersama kelab masing masing sepanjang tempoh penggantungan tersebut.
Selain itu, dalam kenyataan rasmi, CAS memutuskan untuk mengekalkan sebahagian keputusan yang dibuat oleh Fédération Internationale de Football Association sebelum ini, termasuk denda sebanyak CHF350,000 yang dikenakan terhadap FAM.
Menurut Ultras Malaya, mereka menuntut 2 perkara dari pihak berwajib iaitu mengaku ada pemalsuan dokumen & menarik kembali kerakyatan yang diberikan kepada 7 pemain terbabit.
“Korang mintak tunggu keputusan FIFA? Dah. Korang mintak tunggu rayuan FIFA? Dah. Korang mintak tunggu rayuan CAS? Dah. Sekarang kami pulak mintak.”
“Mengaku bahawa pemalsuan dokumen berlaku. Tarik balik kerakyatan 7 individu terlibat. Kita setelkan perkara asas ni dulu. Lepas tu baru cerita bab lain,” kata Ultras Malaya dalam satu kenyataan di laman media sosial milik UM.
Tempoh penggantungan 7 pemain tersebut bermula 5 Mac 2026, dengan kredit turut diberikan bagi tempoh penggantungan yang telah dilaksanakan sebelum ini dari 25 September 2025 hingga 26 Januari 2026.
CAS turut memaklumkan bahawa keputusan yang diumumkan ini merupakan keputusan operasi tanpa alasan penuh, manakala penghakiman lengkap bersama justifikasi terperinci akan dikeluarkan pada masa akan datang.