Tiga syarikat telekomunikasi negara, Unifi, CelcomDigi dan U Mobile diumumkan sebagai penaja utama siaran Piala Dunia 2026.
Perkara ini diumumkan Jabatan Penerangan Malaysia menerusi satu kenyataan media pada Khamis.
Ketiga-tiga entiti ini mengadakan kerjasama strategik dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagi memastikan siaran kejohanan berprestij itu bukan saja berkualiti tetapi boleh dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
“Penajaan siaran kejohanan Piala Dunia FIFA 2026 ini memperluas akses siaran sukan bertaraf dunia kepada rakyat, serta memperkukuh peranan penyiar awam negara agar kandungan berkualiti dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa kos tambahan.
“Kerjasama ini juga mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memastikan seluruh rakyat Malaysia dapat mengikuti kejohanan bola sepak terbesar dunia secara menyeluruh.
“Menerusi usaha sama berimpak tinggi, Unifi TV dan RTM selaku penyiar rasmi bersama para penaja akan menyiarkan liputan berkualiti tinggi dengan capaian penonton yang meluas di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Siaran boleh diikuti menerusi saluran di perkhidmatan Unifi TV serta saluran-saluran di RTM. Siaran secara selari, tertunda dan video atas permintaan (VOD) pula boleh disaksikan menerusi platform Unifi TV dan RTMKlik.
Malaysia antara tujuh negara ASEAN yang memiliki hak penyiaran rasmi Piala Dunia 2026.