Bakal berdepan dengan pasukan dari Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT), kelab gergasi Jepun, Urawa Red Diamonds memberi bayangan untuk beraksi dengan cara berbeza dalam perlawanan 16 terakhir Liga Juara-Juara AFC, Jumaat ini.
Menyedari taktikal mereka sudah dikaji oleh pasukan JDT, pemain Urawa, Ataru Esaka memberitahu bahawa corak permainan yang Urawa tampilkan Jumaat ini sama sekali tidak sama dengan apa yang disaksikan dalam Liga Jepun.
“Ini adalah peringkat kalah mati Liga Juara-Juara AFC, jadi kami perlu mempunyai cara bermain yang berbeza dengan yang kami persembahkan dalam liga,” kata Esaka kepada AFC.
Buat masa ini tumpuan para pemain Urawa hanyalah satu iaitu menewaskan pasukan JDT dan apa yang mereka tampilkan nanti adalah corak permainan ‘wajib menang’.
“Setiap pasukan mempunyai kemungkinan untuk mara ke final dan begitu juga kami. Kami mahu bermain dengan sikap mesti menang dan fokus satu perlawanan pada satu masa. Tetapi buat masa ini kami akan menumpukan perhatian kepada perlawanan dengan Johor.” tambah Esaka yang pernah menyarung jersi pasukan kebangsaan Jepun pada tahun lalu.
Pasukan JDT sebelum ini mencipta sejarah apabila mencipta sejarah sebagai satu-satunya pasukan dari Malaysia yang layak ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara AFC yang merupakan kejohanan kelab tertinggi di peringkat Asia.