Uzbekistan bangkit daripada ketinggalan sebelum menewaskan China 2-1 di Stadium Pusat Sukan Dalian hari ini.
Selepas meraih kemenangan 2-0 ke atas Vietnam, China mahu merekodkan kemenangan keempat dalam kalendar antarabangsa FIFA.
Sementara Uzbekistan pula mahu menambah kemenangan keenam selepas menewaskan lawan sama dalam aksi persahabatan tertutup beberapa hari lepas.
China yang tampil sebagai tuan rumah mengasak pelawat sebaik wisel ditiup. Begitupun, mereka perlu menunggu sehingga minit ke-41 menerusi pemain sayap Wuhan Three Town, Wei Shihao.
Dengan keputusan 1-0 semasa rehat, jurulatih The White Wolves, Srecko Katanec segera membuat tiga pertukaran bagi mengenakan tekanan ke atas Dragon’s Team.
Percaturan pengurus Slovenia itu berhasil apabila Otabek Shukurov menyumbat gol penyamaan pada minit ke-78.
Sepakan penalti Shukurov pada awalnya dinafikan penjaga gol Yan Junling tetapi percubaan susulan beliau menembusi gawang China.
Gol kemenangan pelawat diraih Jamshid Iskanderov pada minit ke-86 sekaligus meranapkan impian China meraih kemenangan di gelanggang sendiri.
Ini memastikan Uzbekistan dapat menjaga air muka mereka sebagai pasukan ranking ke-75 dunia.
Sofascore memberi markah 8.1 kepada Jaloliddin Masharipov sebagai pemain terbaik Uzbekistan hari ini. Manakala Lei Li dan Shihao pula berkongsi mata 7.1 sebagai pemain terbaik China.