Advertisement
Venue Aksi Kelantan DN vs Kedah Diubah Ke Stadium Darul Aman
Liga Super
MakanBola
Kedah Darul Aman FC

Venue aksi Liga Super membabitkan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) telah diubah ke Stadium Darul Aman.

Berdasarkan jadual sebelumnya, Sang Kijang Emas bakal melayan kunjungan Sang Kenari di Stadium Sultan Muhammad IV pada 10 Januari. Aksi kedua-dua pasukan bakal berlangsung pada jam 9.00 malam.

Walau bagaimanapun, Malaysian Football League (MFL) memaklumkan ada sedikit perubahan dari segi venue dan waktu perlawanan.

Aksi Kelantan DN-Kedah bakal diadakan di Stadium Darul Aman pada jam 5.30 petang, 10 Januari 2025. Perubahan tersebut telah mendapat persetujuan kedua-dua pasukan.

Perubahan ini dilakukan memandangkan kerja-kerja penaiktarafan Stadium Sultan Muhammad IV masih lagi giat dijalankan.

Perubahan waktu dan venue perlawanan turut dimaklumkan oleh pengurusan Kedah menerusi satu hantaran di media sosial rasmi mereka.

Susulan itu, Kelantan DN kekal sebagai tuan rumah untuk aksi membabitkan kedua-dua pasukan.

Kedudukan Liga Super menyaksikan Kedah kini menduduki tangga kesembilan liga dengan 17 mata. Sang Kijang Emas pula berada di tangga ke-12 dengan tujuh mata.