Vietnam Bakal Risik Aksi Malaysia vs Cape Verde
MakanBola
Vietnam FF

Vietnam bakal merisik kekuatan Harimau Malaya menjelang aksi kedua kelayakan Piala Asia 2027 pada 10 Jun ini.

Portal TheThao247 melaporkan pengendali Pahlawan Bintang Emas, Kim Sang-sik bakal menghantar pembantunya untuk menilai kekuatan Malaysia bila menentang Cape Verde.

Harimau Malaya merupakan pesaing utama Vietnam dalam Kumpulan F. Ini ditambah dengan kedua-dua pasukan meraih tiga mata penuh dalam aksi pertama kumpulan pada Mac lalu.

Malaysia merekodkan kemenangan 2-0 ke atas Nepal. Vietnam pula selesa mengatasi negara serantau, Laos dalam satu lagi aksi kumpulan.

Meskipun sibuk menguruskan ASEAN All-Stars, Sang-sik tetap memantau kekuatan Harimau Malaya. Atas sebab itu, aksi pada 29 Mei itu bakal menjadi fokus utama beliau.

Malaysia bakal menentang The Blue Sharks sebanyak dua kali sebagai pemanas badan menentang Vietnam. Aksi pertama berstatus Tier 1 diadakan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada 29 Mei.

Ini disusuli aksi tertutup di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 3 Jun. Barisan pemain Vietnam dijangka berkumpul di Hanoi pada 29 Mei.

Setelah itu, mereka akan berlepas ke Kuala Lumpur pada 6 Jun. Ini bagi membantu Pahlawan Bintang Emas menyesuaikan diri sebelum aksi menentang Harimau Malaya empat hari selepas itu.