Vietnam Mahu Kalahkan Malaysia Di Bukit Jalil
MakanBola
VFF

Menjelang aksi kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di antara Vietnam dan Malaysia, jurulatih Vietnam, Kim Sang-sik melaungkan keyakinan untuk menamatkan perlawanan dengan tiga mata.

Perkara tersebut disuarakan jurulatih dari Korea Selatan itu selepas melihat anak buahnya mencipta kemnangan tipis 2-1 dalam perlawanan latihan menentang skuad Vietnam bawah 22 tahun.

Bagi Sang-sik, beliau percaya pemain-pemain di bawah kendaliannya meletakkan kemenangan sebagai matlamat tertinggi demi meraih kejayaan akan datang.

“Semua perlawanan adalah tekanan, tetapi kegembiraan akan berganda apabila kami mengatasi kesukaran dan menang. Saya sentiasa percaya bahawa pemain akan bersatu dan berusaha untuk mengatasi cabaran.

“Walaupun pusingan kelayakan dimainkan dalam format tempat lawan, kami tidak mahu kehilangan sebarang mata dan menyasarkan untuk memenangi kesemua 3 mata dalam perlawanan seterusnya (menentang Malaysia).

“Secara umumnya, kemenangan sentiasa menjadi matlamat tertinggi pasukan Vietnam,” jelas Sang-sik seperti yang dilaporkan Thethao247.

Dalam perlawanan latihan yang diadakan pada Rabu, skuad senior Vietnam berjuang keras sebelum menewaskan skuad bawah 22 tahun Vietnam. Jaringan skuad senior Vietnam dijaringkan oleh Nguyen Hai Long dan Ngoc Quang Chau manakala gol saguhati skuad bawah 22 Vietnam dijaringkan oleh Le Van Thuan.