Vietnam Menang Tipis Sebelum Ke Malaysia
MakanBola
VFF

Skuad kebangsaan Vietnam kendalian Kim Sang-sik mendapat tonik tambahan apabila berjaya meraih kemenangan tipis dalam satu perlawanan latihan menentang Vietnam Bawah 22 baru-baru ini.

Dalam perlawanan tertutup itu, skuad senior Vietnam berjaya menewaskan pasukan bawah 22 Vietnam dengan keputusan 2-1.

Dua jaringan skuad senior Vietnam itu dihasilkan Nguyen Hai Long dan Ngoc Quang Chau manakala gol saguhati skuad bawah 22 Vietnam dijaringkan oleh Le Van Thuan. Dalam perlawanan ini, pemain baru Cao Pendant Quang Vinh turut dipilih oleh Sang-sik itu untuk memulakan perlawanan.

Vietnam yang akan bertemu Malaysia pada 10 Jun ini bakal berlepas ke Malaysia pada 6 Jun selepas latihan terakhir mereka di Vietnam yang dijadualkan 5 Jun.

Untuk rekod, kali terakhir Vietnam dan Malaysia bertemu adalah pada aksi Piala Mitsubishi Electric 2022 dengan kemenangan selesa 3-0 menjadi milik Vietnam.

Manakala kali terakhir Malaysia merakamkan kemenangan ke atas Vietnam adalah pada 2014. Situasi kini sudah pasti berbeza dengan Malaysia dan Vietnam membawa masuk beberapa pemain dari luar negara bagi memperkuatkan pasukan.

Di kem Malaysia, empat pemain luar negara yang baharu telah diumumkan menyertai pasukan iaitu Jon Irazabal, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca dan Joao Figueiredo.

Vietnam pula tidak duduk diam apabila turut menyenaraikan seorang pemain berdarah Perancis iaitu Cao Pendant untuk menambah kekuatan di bahagian pertahanan.