Vietnam Tolak ‘Lamaran’ Thailand
MakanBola
Changsuek

Skuad bola sepak kebangsaan Vietnam telah dipelawa untuk menyertai King’s Cup di Thailand pada bulan September depan namun Vietnam dilaporkan menolak ‘lamaran’ Thailand itu.

Vietnam dipelawa menyertai kejohanan tersebut selepas mereka memenangi Piala ASEAN pada Januari 2025 selepas menewaskan Thailand di pentas akhir.

“Kami ingin menjemput pasukan Vietnam, yang baru memenangi Piala ASEAN 2024, untuk menyertai Piala Raja 2025. Mereka boleh membantu kami menjayakan kempen membawa kejohanan itu ke wilayah, sebelum ini Chiang Mai dan terbaru wilayah Songkhla,” kongsi Madam Pang ketika itu.

Namun menerusi laporan media di Vietnam, skuad kendalian Kim Sang-sik tidak akan menyertai mana-mana kejohanan pada September dan hanya akan kembali ke tugasan antarabangsa pada Oktober.

“Menurut pengumuman terbaru dari Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF), pasukan itu tidak akan berkumpul untuk kalendar FIFA pada bulan September. Ini bermakna jurulatih Kim Sang-sik dan pasukannya secara tidak langsung menolak pelawaan Presiden FAT,” lapor Anninhtudo.

Untuk rekod, Kali terakhir Vietnam menyertai King’s Cup ialah pada 2019, di bawah jurulatih Park Hang-seo di mana Vietnam menamatkan kejohanan sebagai naib juara selepas tewas kepada Curacao di pentas akhir.

Vietnam baru sahaja menyelesaikan tugasan antarabangsa apabila melalui perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Malaysia dengan mereka tewas 0-4 kepada Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil.