Bekas jaguh nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen mengambil keputusan untuk menggantung raket.
The Straits Times melaporkan keputusan itu dikongsikan beliau menerusi satu pengumuman eksklusif pada Rabu.
Axelsen, 32, mengakui ini bukan satu keputusan mudah buat dirinya. Pada masa sama, isu kecederaan belakang menyukarkan beliau untuk berlatih dan bertanding seperti sebelumnya.
“Seperti yang diketahui ramai orang, saya telah bergelut dengan masalah belakang selama beberapa ketika.
“Selepas saya menjalani pembedahan pada April tahun lepas dan menjalani proses pemulihan yang panjang, malangnya saya berdepan masalah pada bulan Oktober. Sejak kejohanan tersebut, saya tidak dapat bermain atau berlatih pada tahap yang diperlukan.
“Saya tidak dapat bermain atau berlatih kerana kesakitan dan malangnya, itulah sebabnya saya terpaksa membuat keputusan yang sangat sukar ini,” katanya.
Sepanjang kariernya, Axelsen telah menikmati pelbagai kejayaan. Antaranya bergelar juara dunia dan pemenang pingat emas Sukan Olimpik sebanyak dua kali.
Axelsen juga turut membantu Denmark muncul juara Thomas Cup pada 2016. Beliau turut meraih 27 gelaran juara jelajah Persekutuan Badminton Sedunia (BWF) termasuk German Open 2025.