Kelab-kelab Malaysia perlu sedia berhadapan pasukan yang lebih baik seperti kelab Jordan dan Arab Saudi bagi meningkatkan kualiti permainan mereka
Perkara ini diusulkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Dato’ Suraya Yaacob ketika sesi Townhall Bola Sepak Wanita yang berlangsung di Hotel Armada, Petaling Jaya.
Beliau berkata ketika menerangkan mengenai Liga Wanita Nasional (LWN) 2024 yang dijadualkan berlangsung pada bulan Julai sebagai cara impak bagi meningkatkan tahap bola sepak wanita di negara ini.
”Selain daripada pasukan yang lebih ramai, lagi penting adalah memanjangkan liga tersebut. Untuk tahun ini kita jangka 10 pasukan, (dalam tempoh) 5 bulan. Maknanya setiap minggu akan bertanding dan berkonsepkan home-away.”
”Ini juga (salah) satu impak tinggi yang kita rasa dapat dilakukan bukan sahaja kepada prestasi pasukan kebangsaan, juga kepada pembangunan bola sepak wanita itu sendiri,”
Beliau juga mencadangkan agar perlawanan persahabatan menentang lawan yang lebih baik tahap permainan tidak kira di peringkat kelab atau negara agar para pemain dapat membiasakan diri dengan intensiti tinggi di dalam permainan.
”Contoh, kalau kita jemput Arab Saudi atau Jordan, memang betul mereka lebih tinggi dari kita, bukan setakat tinggi fizikal tetapi tinggi kedudukan ranking,” katanya ketika sesi tersebut.
Ini dibuktikan dengan kejayaan skuad bola sepak wanita negara kendalian Soleen Al-Zoubi berjaya menewaskan Arab Saudi dalam aksi persahabatan tahun lalu.
Soleen memuji aksi cemerlang anak-anak buahnya ketika itu yang mampu menundukkan Arab Saudi yang lebih berkelebihan dari pelbagai aspek.
Townhall Bola Sepak Wanita yang dianjurkan oleh FAM ini merupakan satu platform bagi mendengar lebih banyak cadangan mahupun persoalan berkaitan perjalanan takwim bola sepak wanita negara bagi 2024.