Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Dato’ Suraya Yaacob tidak menolak Liga Wanita Nasional (LWN) bakal memperkenal kuota pemain import.
Cadangan itu dinyatakan beliau selepas sesi Townhall Bola Sepak Wanita FAM di Armada Hotel, Petaling Jaya hari ini.
Suraya melihat kehadiran pemain import bukan saja meningkatkan taraf persaingan sesama pasukan dalam LWN.
Malah, ini secara tidak langsung membantu pemain-pemain bola sepak wanita negara untuk mempamerkan prestasi lebih baik bila bersaing dengan bintang-bintang import.
“Kita harap bila perkara ini (LWN) berjaya, nanti ada yang cakap, ‘Kenapa tak perkenalkan kuota pemain asing?’
“Kita akan perkenalkan (kuota pemain import) tapi benarkan kita lakukan (penambahbaikan kepada LWN) terlebih dahulu. Kerana secara ideal, kita perlu tingkatkan tahap persaingan pada setiap peringkat,” katanya kepada media selepas selesai sesi townhall berkenaan.
Liga Wanita Nasional yang ditubuhkan pada tahun 2023 menyaksikan Sabah muncul juara edisi sulung liga berkenaan.