Eropah

“Saya Anggap Diri Saya Orang Malaysia” – Rodrigo Iriarte

Instagram Rodrigo Iriarte "Saya Anggap Diri Saya Orang Malaysia" - Rodrigo Iriarte
Instagram/Rodrigo Iriarte

Pemain Club Pilmatun, Rodrigo Iriarte menyifatkan dirinya lebih kepada orang Malaysia meskipun membesar dan membina kariernya di bumi Argentina.

Advertisement

Portal LM Cipolletti melaporkan pandangan itu dibuat pemain berusia 29 tahun apabila ditanya tentang Malaysia. Iriarte yang juga anak kepada bekas penyerang import Pahang, Jose Iriarte merasakan dirinya memiliki hubungan dengan Malaysia.

“Jangan tanya saya kenapa tetapi saya anggap diri saya orang Malaysia. Semua orang yang menyokong saya beritahu saya, ‘Awak orang Argentina, awak membesar di sini.’

“Tetapi saya mempunyai hubungan, akar umbi yang penting. Saya banyak mengikuti pasukan Malaysia dan (perkembangan) liga (Liga Super) di sana.

“Ada sesuatu yang menarik minat saya dari sana, saya belum kembali dan sekarang ia sedikit dalam perancangan,” katanya.

Iriarte turut mendedahkan beliau dilahirkan di Seremban, Negeri Sembilan dan berada di Malaysia selama setahun. Beliau kemudiannya menghabiskan masa di Australia selama tiga tahun sebelum kembali ke Argentina.

“Saya menghabiskan setahun di Malaysia dan kemudian saya pergi ke Australia selama tiga tahun. Dari sana kami kembali ke Argentina, ketika saya berumur empat tahun dan saya membesar di sini,” tambahnya.

Iriarte juga berkongsi bahawa beliau terbuka dengan idea beraksi di Liga Malaysia (Liga M). Malah, beliau ada berhubung dengan sebuah pasukan yang dikatakan berminat untuk melihat aksinya di atas padang.

“Ya, terdapat hubungan dengan sebuah kelab di sana. Kapten dan jurulatih salah sebuah kelab menghubungi saya untuk meminta dokumentasi saya kerana saya berminat untuk menjalani ujian dan melihat kemungkinan bermain untuk sebuah kelab di sana,” ujarnya.

Iriarte menyertai senarai pemain yang lahir di Malaysia dan kini membina karier di luar negara. Selain beliau, Sam Bone, Nino Ziga dan Marcos Tavares Jr juga berada dalam senarai pemain yang dikongsikan Harimau Abroad.

Percuma untuk pembacaTnG Money Packet PercumaMenyemak Money Packet...
--baki
Memuatkan...