Tonggak Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Paulo Josue mengakui peluang menyarung jersi Malaysia sebagai satu penghormatan buat dirinya.
Hal ini dinyatakan beliau dalam satu temu bual bersama ESPN Asia baru-baru ini. Josue mengakui tidak menyangka khidmatnya ditagih pengurusan Harimau Malaya untuk menghadapi ASEAN Hyundai Cup.
Pada masa sama, beliau tidak melihat perkara itu sebagai satu isu. Josue melihat sebaik dirinya menjadi pemain naturalisasi negara, beliau bersedia menyarung jersi negara pada bila-bila masa.
Penjaring terbanyak sepanjang zaman KL City itu turut mengakui terkejut apabila diberi kepercayaan sebagai kapten Harimau Malaya.
“Dan bila Coach Tan (Cheng Hoe) berikan saya lilitan kapten untuk kejohanan ini, saya agak terkejut dengan keputusan itu. Saya tak menjangkakannya.
“Malah, panggilan (menyertai Harimau Malaya), saya tak tahu jika saya menjangkakannya tetapi tiba-tiba mereka hubungi saya di Brazil dan tanya jika saya boleh datang.
“Saya akan selalu datang kerana itulah sebab mereka berikan saya pasport dan kerakyatan Malaysia. Jadi bila mereka panggil, saya bersedia untuk datang,” katanya.
Josue kini penjaring terbanyak Malaysia dalam ASEAN Hyundai Cup dengan tiga gol setakat ini. Beliau juga berpeluang memimpin Harimau Malaya ke separuh akhir dengan syarat menewaskan Filipina dalam aksi terakhir Kumpulan B pada 8 Ogos ini.