Hadiah wang kemenangan FIFA ASEAN Cup dilaporkan telah dikurangkan dari AS$1 juta (RM4.1 juta) kepada AS$650,000 (RM2.6 juta).
Portal Vietnam.vn melaporkan pengurangan hadiah wang kemenangan tersebut ada kaitan dengan kesukaran Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menjual hak penyiaran kejohanan itu kepada penyiar-penyiar yang berminat.
Sebelum ini, FIFA meletakkan nilai hak siaran sebanyak AS$3 juta (RM12.2 juta). Walau bagaimanapun, tiada siapa menyatakan minat sekali gus memaksa badan induk itu mengurangkan harga sehingga AS$2 juta (RM8.2 juta).
Meskipun begitu, sehingga artikel ini ditulis, FIFA masih belum memuktamadkan senarai penyiar rasmi yang akan menyiarkan semua perlawanan FIFA ASEAN Cup. Setakat ini, hanya Indonesia dan Laos saja yang berjaya memuktamadkan penyiar rasmi.
FIFA masih belum menyatakan secara rasmi sama ada berita pengurangan nilai hadiah kemenangan kejohanan itu benar atau sebaliknya.
FIFA ASEAN Cup akan membuka tirainya pada 24 September dan berakhir pada 5 Oktober dengan Indonesia dan Hong Kong sebagai tuan rumah. 14 pasukan mengambil bahagian dengan saingan membabitkan dua divisyen.
Malaysia akan bersaing dalam Divisyen 1 Kumpulan A bersama Indonesia, Singapura dan Bangladesh.